Isnin, 5 November 2012

Rumah Tok Mohd Baki




Inilah rumah Tok Mohamad Baki bin Mahbub di Kampung Ayer Mati. Selepas Opah Saedah kahwin dengan Pak Hassan dari Durian Sebatang, rumah ini telah dijual. Pak Hassan bekerja sebagai pemandu beca di Durian Sebatang dan bukanlah orang yang mewah.

Aku tidak pasti kenapa rumah ini perlu dijual.  Apabila rumah ini dijual, Opah Saedah pindah ke Durian Sebatang , duduk sebelah dengan Pak Alias / Wan Mahami. Kemudian Opah Saedah sewa bawah rumah orang. Daif sekali. Keadaannya macamlah dalam filem Ibu Mertuaku, arahan P Ramlee tu.

Segala harta yang tinggal diagihkan kepada adik-beradik apak seperti pinggan mangkuk, almari meja dan sebagainya. Apak ambil lemari hitam dan meja makan. Pak Usu pula diberikan pinggan mangkuk 'antik' . Semasa adik beradik apak mesyuarat tentang pembahagian itu, aku ada sama dan pasang telinga.  Yah Ngah Abdul Hamid selaku penghulu banyak memainkan peranan untuk menguruskan pembahagian tanah durian Kampung Padang, tanah durian Rantau Panjang, tanah getah belakang, ranah durian sebelah rumah,  tapak rumah ini dan sebagainya.

Seingat aku, rumah ini ada satu bilik sahaja. Ketika tok sakit, tok terbaring di anjung rumah sahaja. Beberapa orang bomoh datang dan menghalau belalang 'pelesit'. Kaki tok disepit dengan kayu 'pensel'.
'
Depan rumah Wan Chor, depan rumah ini adal 'gelanggang' badminton. Sebelahnya ialah rumah Ji Zaberi atau Mohamad Nizam Zamberi. Aku dengan Abdul Wahid, Mudin cucu Wan Intan selalu berlatih bermain badminton.

Kemudian Yop Ja bina rumah baru setelah lama bekerja sebagai Askar Regimen Renjer. Masa itu, Yop Ja hendak berkahwin dengan Kak yong anak Pak Harun Jengkut dari Kampung Padang. Rumah Wan Chor memang sangat uzur aku lihat . Apabila hari raya, keme berkesempatan beraya di rumah Ji dan rumah Wan Chor Zakiah.

Pak Zaberi atau Pak Beri bekerja sebagai peraih ikan di Pasir Salak dan sekitar Kampung Biak kut. Sebabnya dia memang orang Biak. Rambutnya sedikit kerinting dan kurus . Pak Beri berkahwin dengan Wan Shun dan mendapat anak ; Mohd Nizam (Ji), Ja dan seorang lagi. Setelah Ji bekerja dengan Amanah Saham Nasional di KL kemudian di Rapat Setia, mereka pindah ke Kampung Biak.

Apak pemain badminton yang hebat

Apak memang pemain badminton yang hebat dan mempunyai team yang tersendiri. Team apak dari Kampung Ayer Mati berlatih di gelanggang badminton sebelah Dewan Orang Ramai Ayer Mati. Gelanggang ini telah rebak, terjun ke dalam Sungai Perak sekitar tahun 1975. Gelanggang badminton telah dibina yang baru di sebelah darat .

Rakan sepermainan apak yang terdapat dalam gambar ini ialah Shaari (peneroka Trolak Utara)
, Salleh Nik, Daud, Khalid Nik  , Tok Wi, Li Nik , Razak Suhaimi . Sementara pasukan lawan dari Teluk Memali ramai yang masih muda-muda seperti Mat Lapok, Zam-Zam Wan Za, Harun , Man Conggo dan lain-lain.


Apak pernah lawan badminton dengan pasukan ladang Jenderata, Hutan Melintang, Teluk Intan Perak. Pemainnya terdiri dari pekerja India yang menjadi bjuruh ladang di ladang getah itu. Kemungkinan , apak bertugas sebagai Special Constable (Polis khas) untuk menjaga ladang getah dan lombong bijih timah sekitar Jenderata dan Bidor awal tahun 1948-1950.


Tebing Sungai Perak rebak
Bukan sedikit bangunan, kubur, makam yang terjun, rebak ke  dalam sungai Perak. Antaranya ialah jalan tanah merah di sepanjang Kampung Ayer Mati mula dari tanah Pak Darus hinggalah ke tanah Pak Lontok. Makam Sultan Perak turut menerima nasib yang sama iaitu Sultan ? di Teluk Memali , depan rumah cikgu Ayub Don.

Dua buah menesah (madrasah / surau) terpaksa dialihkan ramai-ramai agar tidak menyembah bumi. Menesah hilir dan menesah tengah dipindahkan ramai-ramai selepas hari jumaat. Antara orang penting yang berperanan menjayakan menesah tersebut dipindahkan ialah Pak Tahir Lontok, Pak Sapian Sudin, Pak Lontok, apak dan lain-lain. Ketua kampung ketika itu ialah Haji Mohd Nuri bin Abdul Hamid iaitu bapa saudaraku sebelah emak. Selaku ketua kampung dia telah menggembeleng tenaga seluruh penduduk kampung dan kampung berdekatan untuk membantu memindahkan menesah itu.


Rumah kutai juga terpaksa dipindahkan , jika tidak akan rebak ke dalam sungai. Antaranya ialah rumah Pak Darus, rumah Pak Itam Dahari, Pak Nik, Pak Hassan dan lain-lain. Malahan kata emak, sekolah dia dahulu terletak di sebelah rumah Pak Itam Dahari. Itu sebab padang sekolah lama terletak di situ.



Sabtu, 3 November 2012

Aku , anak lelakinya kahwin

Pada 19 Mei 1991, anak lelakinya kahwin . Akulah. Walaupun apak tak ada kereta , tak ada kenderaan tapi ramai anak buah dan saudara mara sanggup menolong apak. Ada 16 buah kereta yang menghantar semasa majlis perkahwinan dari kampung berkunjung ke Sungai Purun, Semenyih.

Gambar ini semasa majlis bertunang diadakan pada 1990. Tak silap aku, dua kereta dari kampung iaitu kereta sepupu aku, Mohd Nor Abdul Hamid dan Mustapa Kamal Ramli. Apak ajak Yop Ja (Mohd Jamil bin Ahmad - bekas askar renjer) , Yah andak cikgu Ramli Mohd Baki dan Yah Ngah Selayang, Tarmizi Abdul Ghani/
 Ini pula rumah guru yang aku duduk di Semenyih. Aku duduk menyewa di rumah ini sejak 1988 lagi hinggalah 1996. Apabila semua rakan-rakan guru keluar tinggallah aku seorang. Antara rakan guru yang pernah tinggal bersama ialah cikgu Abdul Rahim Mohidin, Azman Shahadan, Ahmad Fuzi Ali, Che Lah, Nizar Hassan dan Razak Terengganu. Apabila ramai keluar, Thomas pula masuk tapi dia sesekali sahaja tinggal di rumah ini.

Ini pula rumah aku di kampung. Atap rumah dua kali ditukar oleh adik-adik aku yang menjadi kontraktor di KL tu. Semasa apak hidup, banyak kali atap bumbung ditukar ganti. Hanya anjung sahaja menggunakan atap zink sementara bahagian dapur menggunakan atap nipah.

Apak beli atap nipah dari Teluk Bharu, kalau aku tak silap. Atap nipah memang banyak dijual di Teluk Intan kerana ketika itu semua rumah menggunakan atap nipah. Atap zink bising ketika hujan dan panas pada waktu siang. Sementara atap nipah lebih sejuk tapi tak tahan lama. Paling lama dua tahun dan perlu ditukar baru . Bukan mudah untuk menukar atap nipah kerana perlu dipanjat ke atas bumbung sedangkan kayu palangnya semakin mereput dan perlu ditukar sekali.

Apak dan sungai tak dapat dipisahkan

Tahun 1991, aku anaknya yang ke-3 kahwin dengan ustazah dari Semenyih. apak cukup sibuk semasa majlis perkahwinan diadakan di Kampung Ayer Mati. Aku sebagai guru, tidak banyak pilihan dan keme bukan orang kaya raya. Gambar ini diambil semasa hendak menghantar kami yang sudah berkahwin. 
Tahu dari mana ke ke mana ?. Sewa bot acik Tambi dari tebing Kampung Ayer Mati, melalui Sungai Perak yang lebar tu. Ketika itu air Sungai Perak sedang banjir, jadi jalan raya tidak dapat digunakan. Kemudian masuk ke Sungai Budiman, melalui Pasir Pulai dan singgah di jambatan Pulau Besar, dekat dengan rumah Pak Kintan dan kedai Pak Musa. 

Pada hari tersebut Yong dan Yop juga balik ke Pulau Pinang. Mereka tinggal di flat Bayan Baru. Pemandu bot ketika itu ialah Manb, yang bekerja dengan Acik. Budak baju biru tu dari Bukit Belacan, Ampang di bawa oleh Mat Nini gamaknya.

Sebagai penghuni Sungai Perak, apak ada gerogoh untuk menangkap dan memerangkap udang galah. Memanglah umpannya untuk udang galah tetapi banyak anak ikan yang masuk sama. Paling tak tahan jika memerang yang cuba curi udang dalam gerogoh. Gerogoh mesti ditempatkan di kawasan yang strategik seperti di bawah jerumbun keladi bunting. Untuk itu, apak kenalah berkayuh jauh ke seberang sungai , dekat dengan Bandar Baru atau Teluk Memali. Semacam ada sefahaman dengan nelayan sungai yang lain. Engkau di kawasan tengah, Tok Naemat di sebelah tepi . Pak Salleh di kawasan hulu. Masing-masing ada sampai atau 'pero'. 



Apak merungut juga jika ada pihak yang ajak tuba ikan. Apabila Cikgu Azman mengajar di Sekolah Kebangsaan Ayer Mati, sampai masa air sungai kering, mulalah aktiviti menuba dijalankan. Namun begitu apak terpaksa setuju dan buat-buat setuju dan tidak dapat menolak. 

Jika tidak, sampan kita akan digunakan oleh orang lain. Silap hari bulan, sampan digunakan oleh orang lain , dicuri dan digunakan secara gelap. Ada unsur ancaman di situ. 

Bagi aku memang seronok menuba ikan tapi ikan tuba ini beracun. Jika tidak dibuang tahi ikan dan dibersihkan betul-betul, kita akan dapat sakit. Bagi orang kampung, mereka tidak kisah kerana melalui pengalaman , tidak ada yang sakit teruk. Janganlah dicampur dengan racun paraquat. Bahaya. Kalau setakat akar tuba yang dibeli di Kampung Timah, Tanjung Tualang, tidak menjadi masalah.



Sabtu, 20 Oktober 2012

Cerita apak

Apak tinggal di Kampung Ayer Mati di tepian Sungai Perak. Kini apak telah tiada, dia telah meninggal dunia pada tahun 2001 , ketika aku sedang mengikuti kursus Induksi di Port Dickson. Namun kerinduan aku pada apak cukup kuat sehingga aku tergerak hati untuk menulis blog ini.

Mengapa apak ? , bukan ayah , bukan abah. Di kampung , ramai juga yang memanggil  orang tua mereka sebagai apak. Semua sepupu aku memanggil ayah mereka 'apak'. Tetapi Sudin anak Tok Mi di sebelah rumah aku,   panggil Ayah. Sementara Kah Ah , juga disebelah kanan rumah aku, memanggil Abah. Apabila aku tanyakan dan bandingkan Apak, ayah dan Abah, mereka kata apak tu macam 'hapak' je bunyinya. Sejak itu aku tak berani dan tak membincangkannya lagi.

Orang Kampung panggil sebagai Anit sahaja walaupun nama penuhnya Abdul Hanif. Tok pula namanya Mohd Baki dan aku rasa pelik mengapa dinamakan 'Baki' , tak ada nama lain ke ?. Kemudian aku baru tahu  Baki itu , dari bunyi Arab, Baihaqi.



Apak pemain bola sepak dan badminton yang handal. Handal atau tidak, apak ada pasukan bola sepak dan mempunyai jersey bola sepak , berbelang biru dan putih. Kiranya pada tahun 1960-an, apak telah ada pasukan bola sepak yang handal dan apak menjadi ketua pasukan. Apak simpan semua 12 jersey dalam almari yang cantik. Lemari itu

Reket badminton apak tersangkut di jenang tingkap. Raket itu siap difrem untuk mengelakkan dari meleding. Apak juga ada simpan net/badminton badminton.

Apak belajar setakat Darjah 5 sahaja. Antara kawan dan rakan sekolahannya ialah Pak Harun dari Kampung Padang Lembah. Apak boleh membaca dan tulisannya boleh dibaca. Apak  adalah buku catatan tentang nama dan alamat sanak saudaranya. Apak ada bundut yang menyimpang segala khazanah seperti kad pengenalan, geran tanah, duit, hutang dan sebagainya.


--------------------------------Kerjaya 1941
Semasa Jepun, Apak menjadi tentera Jepun .Apak menerima latihan singkat di Port Dickson dan dihantar ke Indonesia . Apak dihantar balik ke Malaysia kerana sakit tokak. Semasa Tok Wi masih hidup, Tok Wi ada cerita bahawa apak pernah dihantar ke Sumatera, Indonesia iaitu di Inderagiri, kalau tak silap. Aku tanyakan semula kisah apak pergi ke Indonesia. Semasa dia datang ke rumah aku di Semenyih, dia mengesahkan bahawa dia pernah pergi ke sana dan ditugaskan membersihkan hutan untuk ditanam dengan pokok getah. Tanam pokok getah, mengapa ?. Kerana pada masa itu harga getah sangat mahal dan negara Jepun memerlukan getah untuk industri tayar kereta . Sedangkan British yang menguasai Tanah Melayu ketika itu cuba menyekat eksport getah ke Jepun/


Apak juga menceritakan bahawa beberapa pemuda kampung telah daftar dengan Parti Komunis Malaya . Katanya mereka mahu mengumpul pemuda kampung untuk menentang British. Semangat apak dan pemuda yang lain dibakar habis untuk menentang penjajah orang putih.  Apak memang sudah terpengaruh dengan kehebatan Dato Maharaja Lela yang berjuang menentang Residen JWW Birch pada tahun 1875 tu.

Tindakan residen Birch memang melampau kerana dia bertindak pada masa orang Melayu hendak menyambut hari raya . Tambahan pula mandi di tepi sungai sedangkan orang kampung mandi manda dan ambil air sembahyang.

Pada masa itu, Rashid Maidin menjadi juruteknik di sebuah lombong di Tanjung Tualang. Rashid Maidin berasal dari Gunung Mesah dan apak ada saudara-mara di Gunung Mesah itu. Aku juga pernah sekali ikut apak berjumpa saudara maranya di Gunung Mesah , berhampiran dengan dengan tepi jalan. Nanti akan aku usahakan untuk menjejaki saudara mara aku di sana.

Tapi akhirnya apak bekerja dengan British untuk menyara kehidupan setelah beristeri.

--------------------------------------------------------------------1945
Semasa Perang Sabil di Sungai Manik , apak selamatkan seorang Cina yang dipanggil Panjang berhanyut ke Teluk Intan. Di Kampung Air Mati itu, terdapat sebuah kedai emas di tepi tebing Sungai Perak, kepunyaan seorang pekedai Cina. Hebat tu, ada sebuah kedai emas. Kedai itu bertentangan dengan rumah Pak Pie, tetapi kini telah terjun / rsbak ke dalam Sungai Perak.

Menurut cerita Tok Wi, cina Panjang ini memang duduk di kampung dan bergelemak dengan penduduk kampung mencari rezeki. Harga getah memang mahal dan seluruh penduduk kampung menjadi penoreh ikan dan menangkap ikan di sungai. Selain itu mengusahakan sawah padi. Apabila tersebar berita orang Sungai Manik beramuk hendak memapas semua orang Cina yang duduk mastautin di sepanjang Sungai Perak, Tok Mohd Baki suruh apak selamatkan Panjang.

Tentu ada sebab , tok suruh apak selamatkan Panjang. Panjang tela hidup lama di kampung dan banyak membantu dan menolong serba-serbi kehidupan tok. Apak telah menggunakan sampan untuk membawa Panjang pergi menghilir ke Durian Sebatang di Teluk Intan. Misi rahsia itu dilaksanakan oleh apak pada waktu malam kerana orang Sungai Manik semakin dekat . Mereka memancung dan menetak semua orang Cina. Mana-mana Cina yang sempat melarikan diri, telah melarikan diri.

Semuanya kerana orang Cina telah menguasai seluruh kehidupan seperti menjadi pekedai, tukang kutip cukai di sungai Perak, menjadi pelombong bijih timah dan menubuhkan kongsi gelap . Malahan tersebar berita bahawa orang Cina telah mengacau gadis-gadis Melayu dan merogol mereka .

Perasaan marah membuak-buak kerana orang Cina datang ke sini dan menubuhkan kongsi gelap dan mengugut otang kampung dengan dakyah mereka kononnya orang Melayu tidak bekerjasama dengan menentang Jepun.

Memang orang Melayu tidak begitu disiksa oleh tentera Jepun . Tentera Jepun tangkap dan tembak orang Cina kerana sejarah lama mereka.

Apak juga menuntut ilmu kebal dari seorang kiyai di Sungai Manik. Kata apak, ramai pemuda yang menuntut ilmu silat dan berusaha mendapatkan ilmu batin yang dipanggil ilmu penebat. Ada seorang kiai yang boleh terbang-terbang dan tidak lut. Apak senditi tidak pasti sama ada ilmu itu menjadi atau tidak dan adakah masih efektif lagi. Jika masih ada, teringin juga aku memiliknya, senang hendak menundukkan sesiapa yang cuba-cuba... Tapi apak sendiri tidak yakin dengan ilmu batin itu.

Setahu akulah , tidak ada sesiapa di kampung aku yang mempunyai ilmu persilatan di kampung . Semasa majlis perkahwinan juga tidak ada yang tampil men unjukkan persembahan silat di hadapan pengantin, sekurang-kurangnya silat pulut.

Di Kampung Pulau Tiga memang ada gelanggang silat, Silat Sendeng. Tetapi orang kampung tidak ada yang bersilat atau memperkatakan tentang silat dan masing-masing menyatakan tidak tahu bersilat. Hanya Tok Mi yang banyak memiliki keris , kerana dia memang seorang tukang , termasuk tukang keris.

Pak Tahir pula bercerita  , kononnya ramai Cina di tepi Sungai Perak 'kena guni'. Orang Melayu Perak tidak tertahan lagi dengann perangai dan penguasaan orang Cina dalam ekonomi  dan sebagainya terutama sekali kongsi gelap atau apa yang dipanggil Tentera Pembebasan Malaya. Banyak mayat orang Cina yng hanyut dari hulu sungai menuju ke hilir sungai. Antara kawasan perang yang diketahui ialah Bekor , dekat dengan Manong, Kuala Kangsar.

Emak pula bercerita, ada seorang Cina bersembunyi di celah rimbunan pisang di Pasir Pulai. Datang kumpulan yang mengauk tadi, terus papas  dengan pokok-pokok pisang sekali. Ketika itu emak masih kanak-kanak dan tiinggal di Bandar Baru atau Teluk Memali sekarang ini.


===================1945
Selepas Jepun kalah akibat ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun berundur dari Tanah Melayu. ketika inilah Parti Komunis Malaya berkuasa . Mereka tunjuk kuasa dengan mengambil alih pentadbiran pejabat-pejabat pemerintah Jepun.

Kata Opah Yah, (Badariah bin Anjang, opah Fendi) , seorang dari Kampung Bandar telah ditangkap dan dibawa ke Budiman. Mengapa Budiman . Sebabnya Kampung Budiman dekat dengan Kampung Pasir Panjang Ulu ada laluan hingga ke Sungai Kinta. Dari Sungai Kinta boleh tembus ke Tanjung Tualang , Batu Gajah , Kampar dan Ipoh. Dahulu manalah ada laluan jalan raya seperti sekarang.

Puncanya dia dibawa arah ke sana kerana bersubahat dengan Jepun.




===================1948
Sekitar  tahun 1948, kegiatan pengganas komunis semakin hebat di Perak dan seluruh pantai barat, Tanah Melayu. British tidak terdaya mengawal kongsi-kongsi gelap yang bertukar menjadi tentera komunis. Cina-Cina ini memang ada mengajak orang Melayu menyertai mereka menentang komunis. Wakil mereka , Rashid Maidin dan Abdullah Che Dat dari Lambor Kanan. Abdullah CD ini memang seorang pemimpin yang berpengaruh, pandai mengapi-apikan semangat orang Melayu supaya menentang penjajah British. Ramai orang tepi Sungai Perak yang melarikan diri semasa Perang Perak 1974 dan semangat itu meluap-luap pada Abdullah CD dan Rashid Maidin.

Tahun 1948, Sungai Siput jadi kecoh kerana tiga peladang British telah berjaya ditembak oleh komunis. Apak telah menjadi diajak oleh kawan-kawan sekampung untuk menjadi SC atau Special Constable. Ketika itu apak berada di Durian Sebatang dan ramai pemuda yang tidak ada pekerjaaan menjadi SC. Hanga getah tidaklah berapa cantik .

Tugas menjadi SC tidaklah susah sangat. Pada mulanya apak menjadi SC di ladang getah sekitar Jendarata kerana ladang getah itu milik orang putih. Ladang Jenderata , Teluk Intan itu ada sebuah lapangan terbang kecil  untuk kegunaan  mereka.

Pada satu masa, semua SC di Teluk Intan dikerahkan ke Air Hitam, Bidor kerana ada mendapat maklumat sekumpulan pengganas komunis berada di sana. Ada maklumat Abdullah CD sedang berada di Air Hitam hendak mengumpulkan pengikut supaya menyertai komunis. Tambahan pula Bidor, Bikam , Jeram Mengkuang adalah kawasan lombong bijih timah , ramai orang Cina yang memang telah terpengaruh menentang  Jepun dan menentang British. Mereka mempunyai senjata dan pemimpin mereka , Chin Peng dari Sitiawan memang seorang pemimpin yang berwibawa.

Antara rakan setugas dengan Apak sebagai SC ialah Sidang Uda di Selat Pulau dan Pak Tang dari Kampung Cina, Rantau Panjang, mukim Bandar, Teluk Intan.

Apabila gerakan komunis agak reda di Jenderata dan Bidor,  apak ditugaskan menjadi SC berkawal di lombong bijih timah dan ladang getah di Batu Arang dan Rawang pula.


Apak tengok pengganas komunis ditembak dan diangkut dengan trak polis. Waktu bertugas sebagai SC ialah pada waktu malam. Banyak berlaku rusuhan dan tunjuk perasaan oleh buruh, pekerja ladang mahupun pekerja lombong bijih timah. Serangan dan saotak lebih mudah dilakukan pada waktu malam. Mereka serang dan llari. Serang dan lari, menyelamatkan diri. Kalau boleh komunis mahu kegiatan ekonomi , bijih timah dan getah lumpuh sama sekali.

Kebanyakan masa apak bertugas adalah pada waktu malam. Mereka diberikan senjata dan berkawallah di pintu pagar. Biasanya rumah majikan peladang dipagar dengan kawad berduri. British tidak mahu majikan orang putih tadi ditembak atau diserang hendap.

Apak juga pernah bekerja di Stesen Kereta Api Sentul. Antara tugas apak ialah mengangkut besi -besi landasan kereta api. Kerjanya memang kasar dan berat. Mungkin apak tidak lama bekerja di Sentul.

Satu ketika, apak singgah di rumah Senin. Senin merupakan orang kampung dan tanahnya betul-betul sebelah dengan tanah kami sekarang ini. Senin bekerja dengan kerajaan sebagai dressar di Hospital Besar Kuala Lumpur, di Jalan Pahang sekarang ini. Apak datang ke Kuala Lumpur dan hajat hati hendak menumpang di rumah rakannya Senin. Apabila Senin pergi bekerja, apak dikunci dari luar. Jadi apak tidak dapat keluar pada hari itu. Seharian apak duduk di rumah menunggu Senin balik dari kerja.

Agaknya apak ambil hati dengan tindakan kawan sekampungnya itu. Jika hendak keluar bekerja dan kunci rumah sekalipun, beritahulah awal-awal lagi. Sejak itu hubungan apak dengan Senin, biasa-biasa sahaja.

----------------------Perkahwinan
Semasa jadi SC inilah , Apak kahwin dengan emak . Emak bernama Salmiah bin Abdul Ghani , gadis dari Kampung Bandar Baru. Emak dipelihara oleh opah Som sejak kecil dan kematian bapanya sejak kecil iaitu Abdul Ghani.

Majlis perkahwinan ini diadakan di Bandar Baru. Dari sekeping gambar yang aku lihat, apak dan emak bersanding dengan pakaian pengantin. Baju pengantin warna kebiruan itu ada sulam-sulam macam songkek, tapi bukan songket . Bagaimanapun pakaian pengantin itu agak mahal juga. Aku tidak pasti gambar sekeping itu diambil di mana ?. Mungkin di kedai gambar di Teluk Intan. Sekeping lagi gambar ialah gambar apak, emak , acik dan wan cik berempat. Namun aku kira gambar itu telah musnah kerana rumah acik di Bandar Baru terbakar sekitar tahun 1988.

Setelah berkahwin, apak bawa emak ke Kuala Lumpur, Rawang dan pernah tidur bawah lori. Waktu itu apak ditugaskan membuat rondaan di Batu Arang. Tentera udara British pernah mengggugurkan beratus-ratus bom di kawasan hutan dan lombong di Batu Arang bagi menyekat kemaraan komunis yang membuat rusuhan.

Apak lambat dapat anak dan Akibah Mohd Tahir dijadikan sebagai 'anak angkat'. Setahu aku, agak lama juga apak dan emak tidak dapat anak. Akibah dibelikan baju , seluar dan pakaian agaknya. Teknik ini juga digunakan oleh Yong Rohani apabila mereka lambat dapat anak. Hampir 10 tahun Yong dan Yop Penang tidak dapat anak.

Apak namakan anak pertama dengan nama Rohani binti Abdul Hanif. Rujukan tentang nama itu ialah Tuan Yop, iaitu guru agama di kampung . Namun begitu , apak biasa menyebut nama Yong sebagai 'Ma' bagi singkatan nama Asma. Ia ada kaitan dengan nama yang diberikan oleh Tuan Yop tadi. Setahu aku, Tuan Yop  ini ialah bapa kepada Dato Megat Junid bin Megat Ayub, Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, zaman Tun Dr Mahathir Mohamad. Megat Junid tinggal di Kampung Padang dan ada surau besar di tebing Sungai Perak.


Selepas Yong, Nyah pula dilahirkan . Seorang lagi perempuan, namanya Sariah Abdul Hanif. Tahun 1963 , aku pula dilahirkan. Kemudian Mohamad Zaini, Azrai dan Norliza.

Sekitar tahun 1965, projek sawah padi dimulakan di Seberang Perak. Tanah-tanah diagih-agihkan kepada penduduk seluas 5 ekar atau 2 hektar setiap orang. Semua penduduk Kampung Ayer Mati dapat tanah di Blok D. Orang Bandar Tua , Pasir Jenderis dapat di Blok C dan Blok A. Tok Wi dapat tanah di Blok C, lebih dekat.

Kerajaan memberi tanah-tanah hutan itu untuk diteroka, dibakar , dibersihkan , dicangkul dan ditanam dengan padi jenis Mahsuri dan Malinja. Dua jenis nama padi ini cukup terkenal pada masa itu. Untuk mengelakkan banjir, kerajaan telah membina 'ban' atau benteng bagi mengelakkan banjir kerana ia hanya di hilir Sungai Perak, sebelah dengan Sungai Buaya dan Sungai Dedap.

Terusan telah dibina dan jalan tanah dibina. Kunci air dibina dan disitulah pesawah akan menyeberang terusan. Di simpang terusan yang lain, pandai-pandailah bina jambatan daripada batang kayu , batang pinang atau buluh aur sahaja. Apabila meniti titi buluh ini, rasa gayat , kecut perut, takut jatuh ke dalam terusan dan ngap oleh buaya di dalamnya. Al maklum , nun di hujung sana ada sungai kecil yang dinamakan Sungai Buaya.

------------------------------------------------------------------------1669
Apak kembali ke kampung untuk jaga tok . Tok iaitu Mohd Baki semakin tua dan uzur dan tidak ada orang yang hendak menjaganya. Sebenarnya ada orag lain , adik-beradik lain yang boleh menjaga tok yang uzur benar. Tok beberapa kali kahwin dan akhirnya meninggal dunia pada tahun 1973. Isteri terakhir tok ialah Opah Saadah dari Bandar Tua. Tak silap aku, Opah Saadah belum pernah berkahwin lain sebelum kahwin dengan tok. Jadi tok berkahwin dengan 'anak dara tua'.

Apak tak kerja sebagai pelombong macam orang lain kerana apak terlebih dahulu menjadi Special Constable. Ada beberapa orang kampung yang menjadi SC dan pada 1968, diserapkan menjadi polis. Contohnya Pak Yunus dan Pak Tang. Seorang lagi rakannya ialah Sidang Uda di Selat Pulau.

Apak bina rumah di sebelah rumah Pak de Wali.  Rumah ini dibina di atas tanah tok dan sebelah sahaja dengan rumah Pak de Wali, Ayah Uda dan Wan Dad serta Wan chor,, juga Wan Intan.

Apak jadi wakil khairat kematian yang bertempat di masjid Tapah. Jika berlaku kematian, apak akan ambil wang dari khairat kematian orang yang meninggal dan uruskan pembelian papan keranda, kain kafan ,dsbnya. Apak ada buku daftar semua orang kampung yang menjadi ahli khairat kematian.


Apak juga pemain rebana yang hebat. apak hafal semua lagu yang terdapat dalam buku Hadrah. Orang Perak malu jika tak pandai bermain rebana.


Apak beli tanah dari Wan Som untuk dirikan rumah yang ada sekarang. Tanah tapak rumah tu seluas seekar ekar sahaja. Bolehlah dirikan rumah dan belakangnya ditanam dengan 5-6 pokok durian. Masalahnya ada kubur-kubur lama di hadapan rumah dan 5-6 kubur lagi di bahagian belakang. Opah Yah kata dua batang pokok binjai besar di hadapan rumah itu dia yang punya. Apak dan emak akur tentang itu. Barangkali mereka yang tanam. Tetapi apabila persempadanan semula untuk membina jalan tar, dua batang pokok binjai itu termasuk dalam tanah kami.

Zaman komunis tamat 1960 , selamat 12 tahun .Setelah beberapa lama sebagai SC dasn bertugas di Bstu Arang, Rawang , Selangor , apak kembali ke kampung. Tok Mohd Baki dah mula sakit-sakit . Tapi tok kahwin lagi dengan orang Bandar Tua yang bernama Opah Saedah. Tuk dan Opah Saedah mendapat seorang lagi anak bernama Rohana binti Mohd Baki dan dikira adik apak yang paling bungsu. Tuk meninggal dunia pada 1973 , sama tahun dengan P.Ramlee.

Pada 1970, Apak minta jadi tukang kebun Sekolah kebangsaan Ayer Mati untuk menampung dan menyara kehidupan keluarga. Tapi umur apak mungkin sudah lebih umur , berbanding dengan umur yang dikehendaki , syarat wakktu itu. Sebelumnya apak memang bertungkus-lumus membersihkan padang sekolah di belakang sekolah.Padang itu dikira baru menggantikan padang yang lama , sebelah dengan rumah Guru Besar.

Semasa Guru Besar Cikgu Megat Mohamad Noor , bolehlah apak berbaik-baik dengan cikgu Megat . Segala macam kerja dilakukan. apabila guru besar yang baru datang, cikgu Megat Saruji Megat Ayub dilantik sebagai guru besar yang baru, apak tidak boleh buat apa-apa.

Apak sangat mengharapkan gaji RM120 sebulan sebagai tukang kebun itu. Tapi adik cikgu Megat mendahulu iaitu Megat Jaafar Megat Ayub mendahului kerana faktor usia yang jauh lebih muda belia.

Bukan apak tidak berusaha untuk mendapatkan jawatan itu. Apak ungkit semula jasanya membersihkan padang sekolah baru yang penuh dengan kelubi , penuh duri dan tidak rata.. Hasil tangan apak, padang itu dapat diratakan , lubang dikambus dan pokok-pokok duri dibersihkan. Barangkali padang itu baru dibeli untuk menggantikan padang sekolah yang lama.

Semasa aku di darjah dua, aku selalu nampak apak di luar kelas , mengangkut dan membersihkan pelbagai perkara. Sebenarnya aku kurang senang ada apak di luar yang 'perati' aku dari luar. Apabila ada apak di sekitar kawasan luar, aku rasa tidak bebas.

Akhirnya jawatan tukang kebun terlepas juga kepada Megat Jaafar atau kami panggil 'Pak Po'. Setelah Pak Po datang, pelbagai usaha dibuatnya . Antara yang menarik ialah Zoo Mini di hadapan sekolah. Di dalamnya dibelalah pelbagai jenis burung , tupai dan sebagainya. Burung pipit uban senang didapati dari Seberang Perak. Seingat aku , Johari Shaari Pello turut menyumbang beberapa ekor pipit uban.

Apak tembak ular sawa

Satu masa, Apak tembak ular sawa yang berlengkar atas pokok. Apak tidak ada senapang patah tetapi apak biasa memegang senapang patah. Di kampung tak ramai yang memiliki senapang patah. Kalau adapun senapang patah, mereka tidak menggunakannya untuk menembak babi hutan, kera, lotong dan sebagainya. Banyak pantang larangnya jika menggunakan senapang ni.

Orang kampung ternampak seekor ular berlengkar di atas pokok di belakang rumah Tok Wi. Ayah Ngah memang memiliki senapang tetapi sudah tentu tak larat hendak menembak ular sawa kenyang berlengkar anara dahan pokok. Entah apa sebabnya ular itu tidak melarikan diri. Mungkin kekenyangan tetapi boleh pulak panjat pokok. Atau dia telah makan kera atau lotong.

Orang kampung terutama Wan Badariah cukup suka apabila apak meminjam senapang daripada Yah Ngah dan berjaya menembak ular sawa itu.

Apak bersawah padi menyara keluarga
Apak menyara hidup keluarga dengan pelbagai cara. Sungguhpun apak ada sawah padi di Blok D, Seberang Perak tetapi tidak boleh bergantung harap dengan sawah padi tu. Bukan semua sawah seluas 2 hektar itu ditanam dengan padi.Masih banyak lagi tanah yang tidak diratakan dan masih banyak tanah yang belum ditimbun. Ada masa-masanya sawah padi paras pinggang aku, aku sendiri tak berani hendak tanah padi dengan kuku kambing.

Masa itu punyalah banyak lintah . Bukan pacat yang sebesar lidi penyapu. tetapi lintah ini, saiznya hampir sebesar ibu jari. Kalau dapat dua tiga ekor lekat pada betis atau paha, dia boleh bergayut dan tahan ditarik, tak tanggal-tanggal.

Seingat aku, aku tak pernah pergi ke hujung sawah, sayup dan menyeramkan. Ini kerana untuk pergi ke hujung sawah, terpaksa meniti batas sawah yang lembik dan lembut tu.Di hujung sawah ada terusan yang terus ke Sungai Perak.

Apak berniaga

Apak ada berniaga kecil-kecilan di bawah rumah. Di bawah rumah itu, adalah barang keperluan harian seperti gula, tepung, garam, bawang, beras, kicap , sardin dan sebagainya.Di samping itu , apak juga membeli getah keping dan getah buku dari orang kampung. Antaranya getah keping yang dibeli daripada Wan Bidah Pak Jabor dan Wan Dat.

Selain itu emak juga menoreh getah . Pokok getah ini dimiliki oleh tok , di belakang rumah tuk. Setahu aku luasa tanah getah ini hampirlah 10 ekar. Pada masa dahulu untuk memiliki tanah tidaklah sesusah mana. Terokalah di mana-mana dan maklumkan kepada tok sidang (ketua kampung) dan penghulu Mukim Bandar.

Hampir semua orang kampung hidup miskin , ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang, termasuk apak sekeluarga. Apak bagi hutang kepada Wan Esah, Wan Inum dan sebagainya. Mereka berhutang bukanlah sampai berpuluh beratus ringgit. Jadi apak bagilah mereka berhutang. Apak tulis hutang mereka pada kertas catatan di belakang kalendar tu sahaja. Tulisan apak besar dan aku boleh baca apa yang apak tulis. Pendapatan apak dari berniaga ini tidaklah sebesar mana kerana orang kampung tidak seramai mana dan pembelinya tidak juga ramai.

Selain itu apak bersaing dengan pekedai-pekedai yang lain. Seingat aku ada kedai Che In, kedai Megat Abdul Aziz dan kedai Zaberi Othman.

Setelah sekian lama berniaga, kedai apak tutup apabila kedai Pak Wahab dibuka.Pak Wahab balik dari Kuala Lumpur dan membawa anak isterinya Kak Ah . Mereka pernah tinggal di Kampung Sentosa, Semenyih berhampiran dengan rumah arwah Haji Talib.

Peraih ikan dan buah manggis
Macam-macam kerja yang apak buat dan terpaksa bersaing dengan orang lain. Kalau musim durian dan manggis, apak akan kutip buah durian dan manggis dari orang kampung. Bukan hanya apak yang jadi peraih buah-buahan ini. Pak Hassan Kampung Padang Lembah juga menjadi peraih durian. Pak Selit (Khalid Nik) juga menjadi sekali-sekala menjadi peraih durian dan manggis. Megat Aziz juga mencari rezeki dengan meraih durian dan manggis. Buah-buahan yang lain tidak laku  kecuali buah macang untuk dibuat sambal.

Apak ada tong ikan seluas setengah meja makan sekarang ini. Apak akan beli ikan kembung, ikan sardin, ikan belanak, ikan kayu , sayur sawi, kobis dan lain-lain di Pasar Teluk Intan. Pada masa itu, pasar itu terletak di Durian Sebatang, berhampiran dengan Hospital Teluk Intan (dahulu).  Jarang sangat apak beli ikan yang mahal-mahal kerana orang kampung, setahu apak tidak akan mampu dibeli oleh orang kampung.

Tong ikan dan basikal dinaikkan di pangkalan Durian Sebatang kira-kira jam 1.00 -2.00 petang. Bot Mail 1223 akan sampai di Kampung Pebayan lebih kurang jam 3.00 petang. Bukan semua orang kampung membeli ikan dan sayur dari apak. Mulut apak mesti manis . Mesti tahu nama pelanggan dan tegur pelanggan. Kebanyakan mereka yang menjadi pembeli ialah janda-janda yang telah tua. Ada juga yang berkirim ikan yang mahal seperti bawal dan tenggiri.

Ayah Ngah Tok Penghulu selalunya mengirim ikan '?'. Biasanya ikan yang dijual di pasar adalah dari ikan yang ditangkap di laut, terutama sekali dari Hutan Melintang dan Bagan Datuh.  Orang kampung jual ikan sungai seperti tongsan, lome, temelian . lampam. Ada juga 'ikan darat' seperti keli, haruan, sepat dan sebagainya tetapi Yah Ngah cukup pantang dengan ikan keli. Dia selalu bercerita anak ikan keli macam anak ikan berudu. Apak jjuga sama tak makan ikan keli tapi emak dan anak-anak makan apa sahaja. Oleh kerana apak tak suka ikan keli, emak jarang-jarang masak . Kalau masak dan gorengpun, mestilah basuh kuali terlebih dahulu.

Orang kampung juga tak berani makan ikan tapah kerana ada pantang larang orang tua-tua dahulu. Kata mereka jangan langgar pantang. Macamlah  juga Nabi Adam dan Siti Hawa dilarang makan buah khuldi, kan dah susah ?.


Abangnya Penghulu
Apak ada abang ngah yang menjadi penghulu. Agak lama juga Yah Ngah menjadi Penghulu di Mukim Pasir Salak. Yah Ngah ada motosikal besar ditunggangnya ke sana ke mari dengan beg penghulu. Penghulu ini di bawah kuasa Sultan Perak dan mentadbir atau mengagihkan tugas-tugas dan arahan kepada tok sidang. Tok Sidang ialah ketua kampung yang dilantik oleh orang ramai.

Namun kebiasaanya jawatan tok sidang diwariskan kepada anak-anaknya. Contohnya selepas Tok sidang Abdul Hamid meninggal dunia, jawatan itu disandang pula oleh anaknya Mohd Nuri. Sebelum perlantikan lagi, tugas setiausaha dan bendahari telah disandang dan dipangku secara tak rasmi oleh Mohd Nuri.  Mohd Nuri ini dapat tanah lot bekas lombong bijih timah di Kampung Sungai Pari, Ipoh. Dari sanalah dia berulang alik ke kampung. Sebagai ketua kampung, dia ada memiliki selaras senapang patah . Mohd Nuri ini ada susur galur keluarga dengan emak aku.

Adik bungsunya kerja kilang Shell di Port Dickson
Adiknya itu kami panggil Pak Usu . Nama betulnya Suhaimi bin Mohd Baki atau panggil Suha  atau Ha sahaja.

Cikgu Ramli Mohd Baki
Adiknya yang lain ialah Cikgu Ramli Mohd Baki yang terakhir sebagai Guru Besar di Sekolah Rendah Teluk Birah, seberang Teluk Intan. Sekolah ini tidak ramai. Ayah Andak Ramli sebagai seorang guru sekolah rendah ada membeli sebuah kereta mini hijau . Kereta moris minor ini walaupun nampak tua tetapi dapatlah juga aku menaikinya.

Semasa aku hendak menjadi guru pelatih di MPKI, dialah yang aku tuju terlebih dahulu untuk mendapatkan tanda tangan daripadanya. Seorang lagi guru yang menjadi saksi / penjamin ialah Cikgu Abdul Ghani dan Cikgu Hamdan Zakaria yang tinggal di Kampung Bahagia, Teluk Intan. Cikgu Hamdan terkejut apabila Yah Andak Ramli hanya menjadi saksi sahaja, bukan sebagai penjamin. Kata Yah Andak , dia telah banyak menjadi penjamin ramai orang , sana sini dan tidak boleh menjadi penjamin lagi. Itulah penjelasan daripadanya. Memang tugas penjamin ini bahaya juga, kut-kut ada yang ca alit but.

Yah Huda pelombong di Bidor
Adik apak yang bernama Mohd Zin bin Mohd Baki bekerja dengan lombong kapal korek milik orang putih di Jeram Mengkuang, Bidor. Yah Huda berkahwin dengan orang Pasir Salak . Tetapi isteri anak-beranak ada rumah di kampung, sebelah dengan rumah Pak Sapian Sudin. Satu masa, pada tahun 1981, selepas satu 'kes' Wan Uda , Yah Uda anak beranak pindah ke Bidor, duduk  rumah yang disediakan  untuk pekerja lombong. Mereka duduk itu sehingga tahun 1997 ketika sepupuku, arwah Abdul Wahid berkahwin dengan orang Besut, Terengganu.

Apak juga ada adik bungsu yang aku panggil Pak Usu.

Apak pernah bela kambing dan minta aku menjaganya

Jika ada kematian, apak sibuk menghubungi orang itu dan orang ini.

Apak ada sawah padi di Seberang Perak.

Apak cari durian di seberang, masuk dalam guni dan jual.

Emak tolong apak toreh getah.

Emak tolong ke sawah walaupun jauh berjalan kaki - kira-kira 5 km

Apak dan emak berkebun jagung semasa

Apak dan emak bergaduh pasal duit.

Apak tak ngam dengan Acik.

 Berbanding orang lain, apak banyak pergi tempat-tempat lain