Sabtu, 3 November 2012

Apak dan sungai tak dapat dipisahkan

Tahun 1991, aku anaknya yang ke-3 kahwin dengan ustazah dari Semenyih. apak cukup sibuk semasa majlis perkahwinan diadakan di Kampung Ayer Mati. Aku sebagai guru, tidak banyak pilihan dan keme bukan orang kaya raya. Gambar ini diambil semasa hendak menghantar kami yang sudah berkahwin. 
Tahu dari mana ke ke mana ?. Sewa bot acik Tambi dari tebing Kampung Ayer Mati, melalui Sungai Perak yang lebar tu. Ketika itu air Sungai Perak sedang banjir, jadi jalan raya tidak dapat digunakan. Kemudian masuk ke Sungai Budiman, melalui Pasir Pulai dan singgah di jambatan Pulau Besar, dekat dengan rumah Pak Kintan dan kedai Pak Musa. 

Pada hari tersebut Yong dan Yop juga balik ke Pulau Pinang. Mereka tinggal di flat Bayan Baru. Pemandu bot ketika itu ialah Manb, yang bekerja dengan Acik. Budak baju biru tu dari Bukit Belacan, Ampang di bawa oleh Mat Nini gamaknya.

Sebagai penghuni Sungai Perak, apak ada gerogoh untuk menangkap dan memerangkap udang galah. Memanglah umpannya untuk udang galah tetapi banyak anak ikan yang masuk sama. Paling tak tahan jika memerang yang cuba curi udang dalam gerogoh. Gerogoh mesti ditempatkan di kawasan yang strategik seperti di bawah jerumbun keladi bunting. Untuk itu, apak kenalah berkayuh jauh ke seberang sungai , dekat dengan Bandar Baru atau Teluk Memali. Semacam ada sefahaman dengan nelayan sungai yang lain. Engkau di kawasan tengah, Tok Naemat di sebelah tepi . Pak Salleh di kawasan hulu. Masing-masing ada sampai atau 'pero'. 



Apak merungut juga jika ada pihak yang ajak tuba ikan. Apabila Cikgu Azman mengajar di Sekolah Kebangsaan Ayer Mati, sampai masa air sungai kering, mulalah aktiviti menuba dijalankan. Namun begitu apak terpaksa setuju dan buat-buat setuju dan tidak dapat menolak. 

Jika tidak, sampan kita akan digunakan oleh orang lain. Silap hari bulan, sampan digunakan oleh orang lain , dicuri dan digunakan secara gelap. Ada unsur ancaman di situ. 

Bagi aku memang seronok menuba ikan tapi ikan tuba ini beracun. Jika tidak dibuang tahi ikan dan dibersihkan betul-betul, kita akan dapat sakit. Bagi orang kampung, mereka tidak kisah kerana melalui pengalaman , tidak ada yang sakit teruk. Janganlah dicampur dengan racun paraquat. Bahaya. Kalau setakat akar tuba yang dibeli di Kampung Timah, Tanjung Tualang, tidak menjadi masalah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan