Isnin, 5 November 2012

Apak pemain badminton yang hebat

Apak memang pemain badminton yang hebat dan mempunyai team yang tersendiri. Team apak dari Kampung Ayer Mati berlatih di gelanggang badminton sebelah Dewan Orang Ramai Ayer Mati. Gelanggang ini telah rebak, terjun ke dalam Sungai Perak sekitar tahun 1975. Gelanggang badminton telah dibina yang baru di sebelah darat .

Rakan sepermainan apak yang terdapat dalam gambar ini ialah Shaari (peneroka Trolak Utara)
, Salleh Nik, Daud, Khalid Nik  , Tok Wi, Li Nik , Razak Suhaimi . Sementara pasukan lawan dari Teluk Memali ramai yang masih muda-muda seperti Mat Lapok, Zam-Zam Wan Za, Harun , Man Conggo dan lain-lain.


Apak pernah lawan badminton dengan pasukan ladang Jenderata, Hutan Melintang, Teluk Intan Perak. Pemainnya terdiri dari pekerja India yang menjadi bjuruh ladang di ladang getah itu. Kemungkinan , apak bertugas sebagai Special Constable (Polis khas) untuk menjaga ladang getah dan lombong bijih timah sekitar Jenderata dan Bidor awal tahun 1948-1950.


Tebing Sungai Perak rebak
Bukan sedikit bangunan, kubur, makam yang terjun, rebak ke  dalam sungai Perak. Antaranya ialah jalan tanah merah di sepanjang Kampung Ayer Mati mula dari tanah Pak Darus hinggalah ke tanah Pak Lontok. Makam Sultan Perak turut menerima nasib yang sama iaitu Sultan ? di Teluk Memali , depan rumah cikgu Ayub Don.

Dua buah menesah (madrasah / surau) terpaksa dialihkan ramai-ramai agar tidak menyembah bumi. Menesah hilir dan menesah tengah dipindahkan ramai-ramai selepas hari jumaat. Antara orang penting yang berperanan menjayakan menesah tersebut dipindahkan ialah Pak Tahir Lontok, Pak Sapian Sudin, Pak Lontok, apak dan lain-lain. Ketua kampung ketika itu ialah Haji Mohd Nuri bin Abdul Hamid iaitu bapa saudaraku sebelah emak. Selaku ketua kampung dia telah menggembeleng tenaga seluruh penduduk kampung dan kampung berdekatan untuk membantu memindahkan menesah itu.


Rumah kutai juga terpaksa dipindahkan , jika tidak akan rebak ke dalam sungai. Antaranya ialah rumah Pak Darus, rumah Pak Itam Dahari, Pak Nik, Pak Hassan dan lain-lain. Malahan kata emak, sekolah dia dahulu terletak di sebelah rumah Pak Itam Dahari. Itu sebab padang sekolah lama terletak di situ.



1 ulasan:

  1. teringat dgn arwat pak anit.. smoga rohnya dicucuri rahmat dan tergolong dalam golongan saleh..

    teruskan menulis sejarah Air Mati.. dalam buku sejarah perak ada disebut tentang Air Mati yg disebut tanah abang.. dimana tempat pertama sultan perak pertama mendirikan kerajaan perak..

    -Arman Arshad

    BalasPadam